Pengalamanku di kampung, Merlimau, Melaka


Pekan Merlimau

Hari raya tahun ini aku balik kampung awal-awal pagi hari pertama raya. Memang aku rancang awal supaya dapat elak jalan sesak yang selalu jadi masalah bila semua orang balik kampung serentak. Lagipun, ayah aku siap sembahyang raya dulu kat surau sebelum kami bergerak. Kampung aku kat Merlimau, Melaka, tempat yang aku rasa penuh kenangan walaupun sekarang suasananya tak sama macam dulu.

Atok dan nenek aku dah tiada, jadi aku singgah rumah uda aku yang tinggal di situ sebab dia kakak ayah aku. Waktu aku sampai, cuaca panas sangat, terik sampai terasa macam nak melecur kulit. Tapi itu tak halang aku untuk terus berjalan ziarah pakcik dan makcik yang duduk berdekatan. Lepas itu, kami semua duduk berkumpul makan kuih raya yang pelbagai jenis sambil minum air sirap yang manis dan sejuk. Rasa macam kembali ke zaman kecil dulu bila semua orang berkumpul dan ketawa ramai-ramai. Aku rasa seronok sangat dapat luangkan masa bersama keluarga walaupun sekejap.

Satu perkara yang aku suka sangat bila balik kampung adalah suasana asli yang ada kat sana. Tanahnya merah dan ada banyak haiwan seperti ayam, angsa, lembu dan kambing yang bebas berkeliaran. Rasa macam betul-betul kat kampung jauh berbeza dengan rumah aku dekat Selangor yang penuh hiruk-pikuk dan kesibukan bandar. Kat kampung aku ni ada dusun durian tanah pusaka keluarga yang diwarisi turun-temurun. Tapi aku tak suka durian langsung walaupun baunya kuat dan orang lain kata sedap. Bagi aku rasa dia pelik dan tak kena dengan tekak. Selain durian ada juga pokok rambutan yang ranum dan manis. Bila musim buah-buahan ni kampung jadi lebih meriah walaupun tak ramai orang. Kadang-kadang bau durian yang menusuk hidung tu buat aku teringat zaman kanak-kanak, walaupun aku tak suka makan durian.

Aku juga teringat zaman dulu-dulu bila tidur kat kampung. Walaupun rumah tak ada penghawa dingin aku rasa sejuk je malamnya sebab udara kampung yang segar dan sunyi. Kadang-kadang angin malam meniup lembut sampai rasa tenang sangat. Masa tu aku boleh tidur lena tanpa gangguan bunyi bising macam kat bandar. Tapi sekarang bila dah dewasa aku dah tak boleh tidur kat kampung macam dulu. Mungkin sebab badan dah lain dan tak biasa dengan suasana kampung yang tenang dan sunyi itu. Tambah pula dengan tanggungjawab yang makin bertambah, aku lebih suka tidur dalam suasana yang lebih selesa.

Waktu aku kecil dulu selalu ada perhimpunan keluarga buat membakar daging dan makan bersama kat halaman rumah. Ramai-ramai berkumpul, berbual dan makan bersama. Masa itu aku seronok sangat dapat bermain dengan sepupu-sepupu berlari-lari dan rasa macam dunia ni penuh dengan keriangan. Suasana macam itu susah nak dapat sekarang sebab ahli keluarga dah semakin kurang dan masing-masing ada hal sendiri. Tapi kenangan itu tetap tersemat dalam hati aku.

Tapi aku tak boleh nafikan makin lama makin kurang ahli keluarga yang tinggal di kampung. Adik-beradik ayah aku pun ada yang dah meninggal dunia sebab ayah aku anak bongsu. Sepupu-sepupu yang sebaya aku pun ramai yang dah berkahwin dan duduk jauh-jauh jadi suasana kampung yang dulu meriah dengan suara kanak-kanak dan keriangan itu kini jadi lebih sunyi dan tenang. Kadang-kadang aku rasa rindu nak tengok kampung yang penuh dengan aktiviti dan orang ramai macam dulu. Tapi aku faham itu sebahagian daripada perubahan masa dan kehidupan.

Aku balik kampung hari yang sama sebab jarak dari Selangor ke Melaka taklah jauh sangat. Walaupun kampung dah tak semeriah dulu aku tetap suka suasana yang tenang, nyaman dan penuh kedamaian. Balik kampung buat aku teringat betapa pentingnya nilai kekeluargaan dan kenangan yang kita bina bersama sepanjang masa. Setiap kali aku jejak kaki ke kampung hati aku rasa tenang dan terisi dengan rasa syukur. Kampung ini bukan sekadar tempat asal-usul aku tapi juga tempat di mana aku boleh berehat dan merasa damai.

Harapnya kampung aku akan kekal jadi tempat yang tenang dan selesa walaupun zaman makin berubah dek dimamah modenisasi. Aku tak rasa balik kampung itu sesuatu yang istimewa sangat, cuma ia sebahagian daripada kenangan zaman kecil aku. Kenangan itulah yang akan terus disimpan dan kekal dalam hati walaupun masa berlalu. Jadi, balik kampung buat aku teringat asal-usul dan waktu-waktu yang pernah aku lalui bersama keluarga belah ayah aku.

Comments

Popular posts from this blog

Tokoh Falsafah: Ibnu Sina

Pengalaman Kali Pertama di Kolej

Pakaian Tradisional: Baju Kebaya dan Baju Kurung Pesak Pahang