Pengalaman Kali Pertama di Kolej
Tahun lepas, buat pertama kalinya dalam hidup aku, aku melangkah ke dunia kolej. Saat itu, segalanya terasa asing dan mencabar. Pertama kali aku berjauhan daripada keluarga, pertama kali tinggal di asrama, dan pertama kali aku perlu bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri. Aku tak pernah tinggal di asrama sebelum ini, sebab aku datang daripada sekolah harian. Jadi, pengalaman berpindah ke kolej ini sememangnya sesuatu yang besar dalam hidup aku.
Aku ditempatkan di Kolej Tan Sri Aishah Ghani, atau singkatannya KTAG. Kolej ini menempatkan kebanyakan pelajar asasi, manakala pelajar bacelor seperti aku hanya sebilangan kecil sahaja. Pada mulanya, aku risau dengan kehidupan di kolej. Aku takut tidak dapat sesuaikan diri, takut tidak serasi dengan rakan sebilik, dan takut akan rasa sunyi berjauhan daripada rumah. Namun, semua ketakutan itu perlahan-lahan mula hilang sebaik sahaja aku mula menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Aku duduk di aras dua, dalam satu bilik yang menempatkan enam orang pelajar. Walaupun enam orang itu nampak ramai, bilik kami agak luas dan selesa. Setiap pelajar mempunyai ruang sendiri, seakan-akan petak kecil yang memberi sedikit privasi. Bilik kami juga istimewa sedikit berbanding bilik lain kerana ia mempunyai dua pintu, satu ke dalam dan satu lagi ke arah koridor luar. Ruang yang luas dan susun atur yang teratur membuatkan kami tidak rasa sesak atau tidak selesa. Malah, kami cepat mesra antara satu sama lain walaupun baru pertama kali berkenalan.
Rakan sebilik aku terdiri daripada pelbagai jurusan. Tiga orang mengambil jurusan teknologi makanan, seorang lagi sama jurusan dengan aku, manakala seorang lagi dari jurusan perladangan. Aku lebih rapat dengan dua orang, iaitu yang sama jurusan dan seorang dari teknologi makanan. Kami sebaya dan berasal dari tempat yang sama, iaitu Jitra, Kedah. Persamaan umur dan latar belakang menjadikan kami lebih mudah berbual dan berkongsi rasa. Setiap malam, ada sahaja cerita dan gelak ketawa yang buatkan aku rasa suasana bilik tidak sunyi. Hubungan yang terjalin bukan sekadar sebagai rakan sebilik, tapi lebih kepada sahabat yang memahami.
Susun atur bangunan blok A KTAG ini mengingatkan aku kepada bentuk hospital. Ia dikelilingi oleh koridor, dan bilik-bilik pelajar dibina mengelilingi bahagian tengah yang terbuka. Suasana di kolej ini sangat tenang, dan aku rasa amat bersyukur kerana bilik aku terletak tidak jauh dari pintu pagar kecil yang digunakan oleh pelajar perempuan. Jika perlu keluar, aku tidak perlu berjalan jauh. Semuanya berada dalam jarak yang mudah dicapai.
Namun begitu, untuk ke fakulti pula, aku perlu berjalan lebih jauh ke hentian bas Kolej Serumpun. Ini kerana bas kolej jarang berhenti di hentian KTAG kecuali bas untuk pelajar asasi atau bas yang menuju ke stesen pengangkutan luar. Sebagai pelajar yang tinggal di KTAG, aku ada beberapa pilihan bas, antaranya bas K12 dan K14 yang lalu di Kolej Serumpun, atau bas yang lalu di Kolej Pendeta Zaaba. Namun, hentian bas KPZ ini agak jauh dari blok pelajar perempuan, jadi aku lebih kerap memilih untuk berjalan ke Serumpun.
Walaupun perjalanan itu memenatkan, ia juga membuatkan aku lebih menghargai masa dan mengajar aku untuk merancang lebih awal. Setiap hari, aku akan bangun awal, siapkan diri, dan berjalan ke hentian bas sambil menikmati udara pagi yang segar. Ada kalanya aku pergi bersama rakan sebilik, dan ada kalanya aku pergi sendiri. Semua itu menjadi rutin baru dalam hidup aku.
Satu perkara yang aku suka tentang kolej aku ialah suasananya yang damai. Walaupun bilik aku menghadap ke kawasan hutan, aku tidak pernah rasa takut atau terganggu. Malah, suasana di situ amat menyenangkan. Pada waktu malam, bunyi cengkerik dan deruan angin yang perlahan menjadi teman tidur. Aku bersyukur kerana tiada pengalaman yang menakutkan atau luar biasa berlaku sepanjang aku tinggal di sana. Kolej ini juga lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti mesin layan diri dan dobi tanpa tunai yang memudahkan urusan harian.
Jujur aku katakan, sebelum masuk kolej, aku sangka kehidupan di asrama akan penuh tekanan dan sukar untuk ditempuh. Aku sangka aku akan rindukan rumah setiap hari dan susah untuk sesuaikan diri. Namun, sangkaan aku meleset. Walaupun aku perlu belajar banyak perkara baru dan menghadapi cabaran hidup berdikari, pengalaman ini jauh lebih baik daripada apa yang aku bayangkan. Aku belajar untuk urus masa sendiri, jaga makan dan kesihatan, serta bina hubungan dengan rakan-rakan baru.
Aku sedar bahawa pengalaman ini bukan sekadar berpindah ke tempat baru. Ia lebih daripada itu. Ia tentang proses mendewasakan diri, belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran, dan menghadapi kehidupan dengan lebih terbuka. Kolej ini mungkin hanya tempat tinggal buat beberapa tahun sahaja, tapi kenangan dan pelajaran yang aku dapat di sini akan aku bawa sepanjang hidup. Walaupun ada suka dan duka, aku tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk melalui semua ini.
Comments
Post a Comment