Tokoh Falsafah: Ibnu Sina
Aku mula kenal nama Ibnu Sina masa belajar subjek Sejarah Islam waktu STPM, semester dua. Dalam silibus tu, kami belajar tentang kegemilangan tamadun Islam, termasuk tokoh-tokoh ilmuan besar yang pernah mengangkat nama dunia Islam di mata dunia. Daripada banyak-banyak tokoh, aku paling tertarik dengan Ibnu Sina. Masa tu aku baru tahu bahawa Islam pernah lahirkan tokoh perubatan yang bukan sekadar tahu pasal rawatan badan, tapi juga seorang ahli falsafah yang mendalam pemikirannya. Sejak dari situlah aku mula baca lebih banyak pasal dia dan rasa kagum dengan keluasan ilmu yang dia miliki.
Kalau sebut nama Ibnu Sina, ramai mungkin akan kaitkan dia dengan bidang perubatan sahaja. Tapi sebenarnya, Ibnu Sina adalah tokoh yang luar biasa dalam pelbagai bidang. Dia bukan sahaja doktor yang hebat, tetapi juga seorang ahli falsafah, saintis, ahli logik, ahli matematik, pakar fizik, dan penulis prolifik. Dalam dunia Islam dan juga Eropah, dia dikenali sebagai seorang yang sangat berpengaruh, malah dianggap sebagai "bapa perubatan moden" oleh sesetengah ahli sejarah.
Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 980 Masihi di sebuah tempat bernama Afsyanah, berhampiran Bukhara yang kini berada dalam wilayah Uzbekistan. Nama penuhnya ialah Abu Ali al-Husayn bin Abdullah bin Sina. Sejak kecil lagi dia menunjukkan tanda-tanda kebijaksanaan yang luar biasa. Pada usia 10 tahun, dia sudah khatam al-Quran dan menguasai pelbagai ilmu asas termasuk bahasa Arab dan sastera. Menjelang usia remaja, dia mula mempelajari ilmu perubatan, falsafah, matematik, astronomi dan logik.
Lebih menakjubkan, ketika baru berusia 16 tahun, dia sudah mula merawat pesakit dan menjadi tabib yang dipercayai. Pada usia 18 tahun, Ibnu Sina telah berjaya mengubati seorang putera raja di wilayahnya yang ketika itu sedang sakit tenat. Sebagai ganjaran, dia diberi akses kepada perpustakaan diraja yang sangat lengkap, dan dari situlah dia semakin mendalami ilmu secara mendalam dan tersusun.
Salah satu karyanya yang paling dikenali ialah Al-Qanun fi al-Tibb, atau dalam Bahasa Melayu disebut sebagai Kanun Perubatan. Buku ini bukan sekadar senarai penyakit dan rawatannya, tetapi ia menggabungkan teori perubatan, ilmu anatomi, farmasi, kesihatan awam dan juga falsafah. Ibnu Sina meletakkan perubatan sebagai satu bidang yang bukan hanya merawat tubuh fizikal tetapi juga merangkumi pemahaman tentang jiwa dan keseimbangan dalaman manusia.
Buku Al-Qanun fi al-Tibb ini telah menjadi teks utama dalam universiti-universiti Eropah selama lebih 500 tahun. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan digunakan sebagai rujukan utama di sekolah perubatan Barat. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa banyak asas ilmu perubatan moden hari ini berpijak pada asas yang dibina oleh Ibnu Sina.
Selain daripada perubatan, Ibnu Sina juga terkenal dengan sumbangannya dalam bidang falsafah. Pemikiran dia sangat kompleks tetapi penuh dengan makna. Dia banyak mengupas soal hubungan antara jiwa dan akal. Menurut Ibnu Sina, manusia bukan semata-mata terdiri daripada jasad yang fizikal, tetapi mempunyai roh yang tinggi nilainya dan akal yang memainkan peranan penting dalam kehidupan.
Dia percaya bahawa ilmu pengetahuan adalah cahaya yang boleh membawa manusia mendekati hakikat kebenaran dan mengenal Pencipta. Bagi Ibnu Sina, kehidupan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan fizikal atau duniawi, tetapi untuk mengangkat martabat insan melalui ilmu dan kebijaksanaan. Pemikirannya ini sangat sesuai dengan ajaran Islam yang mengutamakan ilmu sebagai asas kehidupan yang seimbang dan bertakwa.
Dia juga bercakap tentang konsep jiwa rasional, iaitu jiwa manusia yang mampu berfikir, menganalisis dan memahami kebenaran. Jiwa inilah yang membezakan manusia daripada makhluk lain. Bila manusia gunakan akal dengan baik dan seiring dengan iman, maka manusia akan capai kesempurnaan hidup.
Apa yang aku paling kagum dengan Ibnu Sina ialah bagaimana pemikirannya masih relevan sampai sekarang. Dalam dunia moden yang serba pantas ni, ramai orang hanya fokus pada penjagaan fizikal. Kita makan ubat bila sakit, kita jaga diet dan bersenam. Tapi kadang-kadang kita lupa untuk jaga kesihatan mental dan rohani.
Ibnu Sina dah lama mengingatkan tentang pentingnya menjaga keseimbangan antara badan, jiwa dan akal. Bagi dia, seseorang itu hanya benar-benar sihat apabila tubuh dan jiwanya berada dalam keadaan harmoni. Nilai ini boleh dijadikan inspirasi dalam kehidupan harian kita. Kita bukan sahaja perlu cari penawar untuk badan, tetapi juga perlu cari ketenangan untuk hati dan kejelasan untuk fikiran.
Lagi aku baca tentang Ibnu Sina, lagi aku rasa kagum. Dalam masa yang sama, aku rasa bangga kerana tokoh hebat macam dia lahir daripada dunia Islam. Ilmuan seperti Ibnu Sina membuktikan bahawa umat Islam suatu ketika dahulu adalah peneraju dalam ilmu pengetahuan dan pembangunan tamadun. Ilmu yang dia tinggalkan masih boleh dimanfaatkan dan dijadikan panduan sampai hari ini.
Lagi aku baca tentang Ibnu Sina, lagi aku rasa kagum. Dalam masa yang sama, aku rasa kewujudan tokoh-tokoh ilmuan Islam macam dia sering kali tenggelam atau dilupakan, lebih-lebih lagi bila nama-nama besar dari dunia Barat lebih kerap diangkat dan dikenali. Sedangkan ramai daripada mereka sebenarnya membina ilmu atas asas yang telah diletakkan oleh tokoh Islam terdahulu.
Comments
Post a Comment