Kritikan Terhadap Dunia Hiburan: Drama Masa Kini




 Sekarang ini dunia hiburan seperti hilang arah. Terutama sekali dalam bab drama. Ada ketikanya terasa seperti tidak ada sempadan yang memisahkan antara hiburan dan nilai. Drama yang disiarkan di kaca televisyen atau di platform penstriman bukan lagi sesuatu yang membawa mesej atau pengajaran, sebaliknya lebih banyak menonjolkan perkara-perkara yang tidak patut.

Babak-babak keterlaluan mula menjadi bahan utama dalam sesetengah drama. Dialog yang menjengkelkan, pakaian yang langsung tidak mencerminkan budaya tempatan, dan jalan cerita yang terlalu dipaksa hingga kadang-kadang tidak masuk akal. Bila ditegur, ada yang cepat memberi alasan kononnya ia hanya hiburan atau sekadar mahu menarik perhatian penonton.

Namun, hiburan yang baik sepatutnya masih berpandukan nilai dan batas. Tidak semua perkara boleh dijadikan bahan tontonan umum. Lebih membimbangkan lagi, ramai penonton yang terdiri daripada remaja dan kanak-kanak turut terdedah kepada kandungan seperti ini. Lama-kelamaan, yang tidak normal mula dilihat sebagai perkara biasa.

Satu perkara yang ketara dalam drama masa kini ialah normalisasi tingkah laku yang tidak sopan atau tidak bermoral. Misalnya, adegan bersentuhan yang keterlaluan, watak berpakaian menjolok mata, atau dialog yang tidak senonoh seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dalam skrip. Jika perkara ini diteruskan tanpa kawalan, generasi yang membesar dengan kandungan seperti ini mungkin tidak lagi mengenal batas antara baik dan buruk.

Selain itu, isu rekaan jalan cerita yang terlalu dibuat-buat juga menjadi kebiasaan. Plot seperti rampasan harta keluarga, cinta terlarang antara adik-beradik tiri, atau penganiayaan yang tidak berkesudahan digunakan berulang kali tanpa penambahbaikan. Penonton dipaksa untuk menerima drama yang sarat konflik tetapi kosong dari segi nilai.

Sepatutnya drama-drama yang dihasilkan lebih sensitif terhadap budaya, agama dan realiti masyarakat. Tambahan pula, kebanyakan pelakon adalah dalam kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Maka sudah tentu harapan terhadap pengisian drama itu sendiri lebih tinggi, agar tidak sekadar hiburan tetapi juga mendidik dan mencerminkan identiti yang sebenar.

Isu orang ketiga seolah-olah menjadi tema wajib dalam hampir setiap drama. Tidak salah mahu tampilkan kisah cinta, tetapi banyak lagi jalan cerita lain yang lebih segar dan bermakna boleh diterokai. Untuk menunjukkan elemen romantis tidak semestinya memerlukan adegan bersentuhan. Cukup dengan kata-kata, lirikan mata, atau gerak tubuh yang halus pun sudah mampu membuat penonton tersenyum sendiri. Romantis tidak semestinya berlebihan.

Hiburan sepatutnya mendidik, menyentuh emosi, dan menyampaikan mesej yang bermakna. Bukan sekadar berlumba-lumba untuk menjadi tular atau trending. Jika industri terus memilih untuk mengutamakan sensasi semata-mata, lama-kelamaan masyarakat sendiri akan hilang rasa hormat terhadap dunia hiburan tempatan.

Tanggungjawab bukan hanya terletak pada penonton. Stesen televisyen, penerbit, pengarah dan pelakon juga perlu sedar akan peranan masing-masing. Karya yang dihasilkan bukan sekadar tontonan, tetapi turut membentuk pandangan masyarakat. Seni itu luas, namun biarlah tetap berpaksikan nilai dan adab.

Jika kandungan yang berkualiti tinggi dan berprinsip dapat diketengahkan, tidak mustahil dunia hiburan tempatan mampu berdiri setaraf dengan luar negara. Bukan kerana keberanian mencipta kontroversi, tetapi kerana bijak menyalurkan nilai dalam bentuk yang menarik dan bermaruah.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Kali Pertama di Kolej

Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

Seni dan Budaya: Mak Yong dan Kuda Kepang