Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

 Salam perkenalan semua. Nama aku Nuraina Haryani tetapi rakan-rakan aku memanggil aku sebagai Haryani. Aku merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda jurusan Sastera Bahasa dan Linguistik Inggeris.

Pada semester kedua di tahun pertama, aku wajib memasuki atau dengan lebih tepat menyertai kursus BBK3410 Penglahiran Bakat Kreatif di bawah Jabatan Bahasa Melayu. Pada mulanya, aku berfikir bahawa kursus ini memerlukan semua pelajar untuk mengeluarkan bakat masing-masing yang tersendiri. Rupa-rupanya kuliah ini lebih ke arah penulisan kreatif dan sastera.

Aku memulakan kuliah pertama aku secara atas talian memandangkan minggu pertama semester kali ini bermula pada bulan Ramadan. Dengan ihsan pihak universiti dan fakulti, mereka bersepakat untuk menjalankan dua minggu pertama semester kedua ini secara atas talian.

Sebenarnya, aku pernah mengambil subjek Bahasa Melayu semasa STPM dahulu, jadi bidang ini bukanlah asing sepenuhnya bagi aku. Namun begitu, aku tidak pernah benar-benar mencuba penulisan kreatif seperti menulis cerpen, sajak, atau puisi. Kali terakhir aku membaca puisi pun mungkin ketika di sekolah menengah. Jadi apabila mendapat tahu kursus ini akan membawa aku lebih mendalam ke arah penulisan seperti itu, rasa teruja itu terselit dalam diri ini.

Aku melihat kursus ini sebagai satu peluang untuk mencabar diri sendiri dalam bidang yang jarang aku terokai. Siapa tahu, kalau bakat ini terus diasah, mungkin suatu hari nanti ia boleh menjadi kerjaya sampingan ataupun sekadar hobi yang menyeronokkan.

Kursus ini diajar oleh Dr. Kamariah, seorang pensyarah yang sangat penyayang dan berpengalaman. Tak salah aku, beliau telah mengajar kursus ini selama 20 tahun. Hebat! Beliau banyak menekankan penulisan yang berkisarkan penceritaan dan pengalaman peribadi, menjadikan setiap kuliah lebih menyeronokkan dan tidak membosankan. Cara beliau mengajar membuatkan aku dan kawan-kawan aku rasa seperti berada dalam satu ruang yang selesa dan santai, seakan-akan mendengar cerita daripada seorang ibu kepada anak-anaknya. Itu yang menjadikan kelas ini agak istimewa bagi aku.

Setakat ini, aku sangat bersyukur kerana dapat menyertai kursus ini walaupun sebenarnya diri ini merasa agak risau dan takut dengan tugasan yang diberi tetapi samapai bila kita nak kena duduk dalam zon selesakan kitakan? Jadi, kursus secara tak langsung dah membuka minda aku terhadap dunia penulisan kreatif dan mungkin akan memberi peluang untuk aku kenal sisi lain diri aku yang selama ini aku tidak sedar wujud.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Kali Pertama di Kolej

Seni dan Budaya: Mak Yong dan Kuda Kepang