Kritikan filem: Gangterisme dan Dunia Gelap

 


Sekilas pandang, dunia drama dan filem tempatan sekarang kelihatan rancak. Setiap minggu ada sahaja tayangan baharu. Tajuk mungkin berbeza, barisan pelakon silih berganti, tetapi isi kandungan masih banyak yang berulang. Cerita cinta tiga segi, suami orang dirampas, konflik rumah tangga, atau kisah cinta tidak direstui keluarga. Hampir semuanya berkisar tentang percintaan, dengan babak yang tidak sesuai ditonton oleh semua lapisan umur.

Lebih membimbangkan, ada pula yang menampilkan keganasan secara melampau. Bukan sekadar watak ganas atau cerita berlatar belakangkan dunia gelap, tetapi sampai ke tahap menormalisasikan pembunuhan, penyeksaan, dan pergaduhan berdarah. Budak-budak sekolah yang menonton cerita sebegini akan terdedah kepada budaya ganas tanpa sempadan. Bila keganasan itu dipaparkan berulang kali, ia boleh mempengaruhi pemikiran mereka. Lama-kelamaan, mereka tak lagi rasa takut dengan perbuatan mencederakan orang, malah mula anggap itu sesuatu yang ‘hebat’.

Cerita pasal gengster pun makin menjadi-jadi. Balik-balik gengster. Kalau bukan samseng jalanan, pasti kisah ketua geng bawah tanah yang lawan musuh demi kuasa. Pengaruh cerita macam ni bukan sedikit. Ramai budak muda terikut-ikut gaya bercakap, cara berjalan, malah berani tunjuk lagak konon-konon macam dalam filem. Sedangkan realiti hidup tidak semudah dalam cerita. Tapi filem sering menggambarkan kehidupan gengster sebagai sesuatu yang ‘stylo’, penuh keberanian dan dihormati orang. Itu silap yang besar.

Banyak juga filem tempatan yang menggunakan perkataan kesat tanpa tapis, seolah-olah tiada sempadan langsung. Bahasa kasar digunakan dengan bangga. Bila ditanya, alasannya konon nak gambarkan realiti jalanan. Tapi tak semua perkara perlu ditayang mentah-mentah. Tak semua filem perlu berani untuk jadi menarik. Ada had yang perlu dijaga, lebih-lebih lagi bila sasarannya termasuk remaja dan penonton umum.

Anak-anak yang membesar dengan tontonan sebegini akan mula hilang rasa malu dan hormat. Bila hari-hari tengok babak gaduh, darah, dan pelakon jerit perkataan kesat, itu yang masuk dalam fikiran mereka. Belum kira lagi babak berpegangan yang melampaui batas, walaupun pelakon itu Melayu dan beragama Islam. Sudah tentu penonton akan tertanya-tanya, di mana letaknya maruah dan nilai dalam lakonan?

Sedangkan seni sepatutnya mendidik dan membina, bukan merosak dan melemahkan. Filem dan drama bukan sekadar hiburan. Ia adalah cerminan masyarakat, dan juga medium menyampaikan nilai. Kalau hari-hari penonton dihidangkan dengan adegan tidak senonoh, pergaduhan, pembunuhan dan cinta terlarang, maka itulah yang akan dianggap biasa.

Sampai bila filem tempatan mahu bergantung pada tema yang sama? Sampai bila mahu tayang cerita tentang gengster, dadah, curang dan cinta gila? Penonton bukannya bodoh. Mereka tahu menilai. Mereka pun dah penat dengan skrip malas dan babak berani yang tidak bertempat.

Sudah tiba masa dunia perfileman dan drama tempatan berani berubah. Sudah tiba masa karya yang dihasilkan bukan sekadar untuk tular dan ditonton ramai, tetapi untuk meninggalkan kesan dan membina jiwa. Kalau benar cinta pada seni, hasilkan karya yang memberi nilai, bukan semata-mata kejar untung. Seni tanpa tanggungjawab hanyalah hiburan kosong yang akan lenyap bersama masa.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Kali Pertama di Kolej

Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

Seni dan Budaya: Mak Yong dan Kuda Kepang