Isu Semasa: Ramai Pelajar SPM Skor Subjek Bahasa Inggeris Tetapi Gagal Subjek Bahasa Melayu?


Sekarang ini, makin ramai pelajar yang lebih cemerlang dalam subjek Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Situasi ini bukanlah sesuatu yang asing, malah sudah menjadi perkara biasa yang sering dibualkan. Ramai pelajar hari ini dapat skor A+ untuk Bahasa Inggeris, tetapi gagal mencapai keputusan yang sama dalam Bahasa Melayu. Sedangkan Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda dan bahasa rasmi negara. Ironinya, bahasa yang paling dekat dengan kehidupan seharian, menjadi subjek yang semakin dipandang ringan.

Bukan tidak bagus menguasai Bahasa Inggeris. Bahasa itu memang penting dalam urusan global. Tapi bila Bahasa Melayu sendiri diabaikan, tidak dijaga dan dianggap tidak penting, itu yang menjadi isu. Bahasa Melayu diajar sejak tahun satu lagi. Digunakan dalam semua subjek kecuali bahasa asing. Tapi bila keputusan SPM diumumkan, ramai yang lebih cemerlang dalam Bahasa Inggeris, manakala Bahasa Melayu sekadar cukup syarat atau sekadar lulus sahaja. Keadaan ini membuka mata bahawa bahasa ibunda kita sendiri semakin dilupakan.

Lebih membimbangkan apabila ada yang mula rasa malu menggunakan Bahasa Melayu yang betul dan baku. Kalau terdengar seseorang bercakap dengan struktur bahasa yang kemas dan tersusun, ada pula yang menggelakkan atau menyindir konon macam pembaca berita. Sedangkan itu bahasa rasmi negara, dan sepatutnya dibanggakan, bukan dijadikan bahan jenaka. Ini menunjukkan wujudnya rasa rendah diri terhadap bahasa sendiri dalam kalangan generasi muda.

Pengaruh media sosial juga tidak boleh dinafikan. Ramai yang terbiasa menulis dengan ejaan singkat, mencampur bahasa, dan menggunakan struktur ayat yang lari jauh daripada tatabahasa sebenar. Lama-kelamaan, bahasa yang digunakan itu dibawa masuk ke dalam penulisan akademik. Bila jawab soalan dalam kertas peperiksaan, termasuk dalam SPM, ramai pelajar gagal menulis esei dengan baik, tidak dapat bezakan bahasa formal dan tidak formal. Akhirnya, Bahasa Melayu dijadikan subjek yang susah untuk skor.

Apa yang lebih menyedihkan, orang asing yang belajar bahasa kita pula lebih menghargai Bahasa Melayu. Mereka belajar dengan tekun, menyebut satu-satu dengan betul, dan sangat bangga apabila berjaya bertutur dalam bahasa ini. Tapi anak bangsa sendiri makin jauh daripada bahasa yang membentuk jati diri dan budaya mereka. Ini bukan soal tak tahu, tetapi lebih kepada tidak mahu ambil tahu.

Dalam keluarga, masyarakat, malah di peringkat sekolah sendiri, penggunaan Bahasa Melayu yang betul semakin jarang ditekankan. Kalau tidak diasah dan dibudayakan, pelajar makin lupa. Mereka jadi lebih yakin bercakap dalam bahasa asing. Padahal dalam majlis rasmi, dalam penulisan akademik, dan dalam urusan negara, Bahasa Melayu tetap digunakan.

Bahasa ini bukan sekadar alat untuk bercakap. Ia adalah cerminan nilai, cara fikir, dan warisan kita. Bila pelajar lebih selesa skor Bahasa Inggeris dalam SPM, itu petanda mereka beri lebih perhatian pada bahasa luar berbanding bahasa sendiri. Kalau dibiarkan, tak mustahil satu hari nanti Bahasa Melayu akan semakin tenggelam. Bukan kerana dimansuhkan, tetapi kerana tidak lagi dihargai oleh generasinya sendiri.

Bahasa Melayu perlu diangkat kembali, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan SPM, tetapi sebagai lambang kebanggaan bangsa. Jangan biarkan generasi kini lebih bangga bertutur dalam bahasa asing dan malu menggunakan bahasa sendiri. Kalau bukan kita yang jaga, siapa lagi?

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Kali Pertama di Kolej

Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

Seni dan Budaya: Mak Yong dan Kuda Kepang