Anak Muda Terumbang-Ambing

Bila sebut pasal anak muda, selalunya orang akan terbayang kumpulan yang bertenaga, bersemangat dan penuh cita-cita. Tapi hakikat sekarang, ramai anak muda sedang terumbang-ambing dalam hidup. Ramai yang keliru tentang apa tujuan mereka. Hidup sekadar ikut aliran, ikut kawan, ikut apa yang orang lain buat. Tak ramai yang betul-betul tahu ke mana arah yang mereka nak tuju.

Apa yang lebih membimbangkan, bila pengaruh budaya luar terlalu kuat sampai anak muda sendiri tak kenal identiti. Gaya berpakaian, cara bercakap, cara bergaul, semua semakin jauh daripada nilai budaya dan adab. Ada yang rasa bangga bila boleh tiru bulat-bulat cara hidup orang luar, tapi malu dengan cara hidup sendiri. Kalau ada yang masih pegang pada budaya dan agama, akan dilabel kolot dan ketinggalan zaman.

Anak muda juga makin hari makin leka dengan dunia hiburan dan media sosial. Hidup ditentukan oleh apa yang tular, bukan apa yang betul. Asalkan nampak seronok, nampak mewah, nampak bergaya, itu sudah cukup. Ramai sanggup menipu diri dan hidup dalam kepura-puraan hanya kerana nak diterima orang sekeliling. Semua ni buatkan anak muda makin jauh daripada nilai sebenar kehidupan.

Soal agama pula semakin dikesampingkan. Bukan sebab tak tahu, tapi sebab tak ambil peduli. Solat ditinggalkan. Aurat dipandang ringan. Bercakap sesuka hati. Akhlak ditolak ke tepi. Bila tiada pegangan, hidup jadi kosong. Bila diuji sedikit, terus rasa gelap. Sedangkan pegangan itulah yang boleh jadi benteng dan penenang dalam apa jua keadaan.

Tak dinafikan, bukan semua anak muda begini. Masih ada yang kuat semangat, yang tahu menjaga diri dan maruah. Tapi golongan ini semakin tenggelam dalam suasana yang makin rosak. Bila benda salah dianggap biasa, bila benda betul dianggap pelik, itu tanda ada yang tak kena dalam masyarakat.

Zaman mungkin berubah, teknologi semakin laju, tapi nilai hidup dan adab tak boleh dilupakan. Anak muda perlu tahu, hidup ini bukan sekadar untuk suka-suka. Kena ada hala tuju. Kena tahu mana baik dan mana buruk. Jangan sampai terlalu hanyut sampai tak kenal lagi siapa diri sendiri.

Anak muda adalah harapan. Tapi harapan hanya akan jadi kenyataan kalau disulami dengan kesedaran, ilmu dan pegangan. Jangan biarkan masa muda berlalu sia-sia. Jangan biarkan hidup hanyut tanpa arah. Pegang agama. Hormat orang tua. Sayang budaya sendiri. Dan yang paling penting, tahu jaga maruah diri.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Kali Pertama di Kolej

Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

Seni dan Budaya: Mak Yong dan Kuda Kepang